Rangka manusia ditemui dalam longkang di tengah-tengah Lebuhraya


shadow

NILAI – Satu rangka yang masih bertopi keledar dipercayai mayat seorang lelaki berusia 20-an ditemui di dalam longkang tengah-tengah Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini semalam. 

Menurut, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa yang berasal dari Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka itu dijumpai orang awam di Kilometer 281.8 arah utara lebuh raya itu  kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Siasatan di tempat kejadian telah menemui satu mayat disyaki lelaki yang tinggal rangka dalam keadaan terlentang, lengkap berpakaian t-shirt dan seluar panjang berwarna hitam dan mayat juga masih memakai topi keledar. 

“Mayat itu ditemui dalam longkang yang lebar lebih kurang dua kaki setengah (0.76 meter) dan longkang itu terletak di tengah-tengah lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, satu beg galas dan satu beg pinggang berwarna hitam dijumpai di sisi mayat itu. 

“Pemeriksaan juga dibuat ke atas beg pinggang yang dipakai si mati dan menemui satu kad pengenalan dan lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150 dipercayai milik si mati. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan mayat yang ditemui ini.

“Hasil siasatan pasukan forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata berhampiran tempat kejadian.

“Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

“Kejadian ini dipercayai tiada unsur jenayah dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. 

Beliau berkata, pihak keluarga telah dihubungi dan memberitahu kali terakhir mereka melihat si mati pada 23 Mac lepas ketika keluar dari rumah menaiki motosikal untuk berjumpa kawannya di Kuala Lumpur.

“Pihak keluarga si mati juga ada membuat laporan polis berkenaan kehilangannya,” katanya.

Tinggalkan komen anda