Rakyat perlu ubah rutin Ramadan kali ini – Tun Dr. Mahathir


shadow

Sesi temu bual secara langsung penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Instagramnya (IG), pada pagi tadi.

Menerusi sesi wawancara #dudukrumah tersebut, Dr. Mahathir berkongsi rutin harian sepanjang tempoh PKP, malah kelihatan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut menyertai bicara santai itu.

Beliau berkata, sepanjang PKP, dia menghabiskan masa dengan membaca dan menulis serta mengamalkan senaman demi menjaga kesihatan.

Jika ada permintaan untuk ditemubual, Dr. Mahathir akan cuba penuhi apabila ada benda baharu seperti ini, beliau rasa seronok namun tidak dinafikan, ada juga rasa bosan.

Sementara itu, dalam perbualan itu juga menyentuh mengenai sambutan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Memetik Berita Harian, Dr. Mahathir berkata, rakyat perlu mengubah cara hidup dan amalan yang biasa dilakukan pada bulan yang mulia ini, sesuai dengan pematuhan PKP.

“Kita perlu terima hakikat puasa kali ini berlaku dalam tempoh PKP. Justeru, amalan penjarakan sosial perlu dilakukan. Ini secara tidak langsung menghalang kita untuk menunaikan solat tarawih (di masjid) atau mengadakan majlis buka puasa seperti yang kita lakukan sebelum ini.

“Namun, kita masih boleh mengerjakan ibadat itu tanpa sebarang halangan. Solat tarawih masih boleh dilakukan di rumah. Kita juga boleh memesan juadah berbuka yang kita suka atas talian.

“Apa yang penting, kita kena patuh arahan PKP supaya kita dapat membendung penularan wabak ini sekali gus membantu barisan hadapan demi masa depan negara,” katanya.

Tambahnya, rakyat harus bersyukur dan sedar ujian yang dihadapi kecil jika dibandingkan dengan negara lain.

“Kalau kita lihat negara lain, ada antara mereka terpaksa berpuasa dalam keadaan yang tidak aman dan tenang akibat peperangan.

“Ini berbeza dengan situasi kita di sini yang masih boleh mengerjakan ibadat dengan tenang. Bersyukurlah kerana kita berada dalam negara yang aman. Kalau ada perbezaan pendapat, itu perkara biasa,” katanya.

Tinggalkan komen anda