Proton Pinjamkan KKM 50 unit X70


shadow

SUBANG JAYA – PROTON Holdings (PROTON) meminjamkan 50 unit X70 kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membantu dan menyokong usaha barisan hadapan Malaysia dalam melawan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong, berkata, kereta ini akan digunakan untuk membawa mereka pergi dan pulang dari tempat kerja serta menghantar ke kawasan menjadi tumpuan dan memerlukan perhatian segera.

“Sebagai pengeluar kereta di Malaysia dan penyumbang utama kepada industri automotif tempatan, PROTON melihatnya sebagai satu kewajipan untuk syarikat membantu kerajaan dalam membendung penyebaran COVID-19.

“Kami amat menghargai jasa para barisan hadapan negara dan merasakan bahawa ini adalah bantuan yang dapat kami tawarkan dalam masa yang singkat.

“Buat masa ini, ia adalah bantuan secara langsung yang boleh kami berikan, tetapi pada masa sama, kami juga mencari pelbagai cara lain untuk menghulurkan bantuan dan sokongan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, PROTON memperoleh kelulusan untuk meneruskan operasi penting syarikat sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antaranya adalah penyelenggaraan fasiliti pengeluaran dan pembukaan pusat servis terpilih bagi untuk memberi khidmat servis kepada kereta-kereta Proton yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan yang beroperasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PROTON juga amat mementingkan kesihatan dan keselamatan semua pekerjanya yang berjumlah hampir 10,000 orang.

“Sebelum PKP dilaksanakan lagi, semua pergerakan pekerja yang perlu bertugas di luar syarikat diterhadkan bermula awal Februari 2020.

“Selain itu juga, mereka yang pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari termasuklah perlu diperiksa sebelum dan selepas tempoh kuarantin,” katanya.

Tambahnya, ketika wabak COVID-19 mula menjadi berita utama, PROTON telah merangka pelan tindakan untuk membendung jangkitan ini.

Tinggalkan komen anda