PM dijangka umum pakej sokongan PKS minggu depan – Tengku Zafrul


shadow

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan langkah sokongan selanjutnya untuk perniagaan mikro dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minggu depan dalam menangani impak penularan COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sepanjang minggu ini, kerajaan berhubung secara rapat dengan komuniti perniagaan, terutama berkaitan perniagaan mikro dan PKS.

“Kami telah mengumpulkan dan mempertimbangkan semua maklum balas, dan bidang tertentu yang dikenal pasti untuk penambahbaikan.

“Pada minggu hadapan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan langkah sokongan selanjutnya untuk perniagaan mikro dan PKS Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, ramai yang bertanyakan kepada beliau, adakah kerajaan menjangkakan melihat pemulihan ekonomi tahun ini.

“Jawapannya adalah bergantung kepada sejauh mana kita dapat mengatasi ancaman COVID-19 di negara ini. Semua rakyat Malaysia mesti mengambil bahagian mereka dan bersatu dalam perjuangan ini.

“Seperti yang disebut Perdana Menteri: `Negara sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan’. Dan marilah kita menambah kepada petikan kata itu dengan: `Sementara ancaman itu mungkin tidak dapat dilihat, sudah pasti ia tidak semestinya tidak boleh dikalahkan’,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, tinjauan semasa mengunjurkan ekonomi negara melonjak semula pada 2021 dengan beberapa pemulihan dijangka menjelang akhir 2020.

Namun, beliau berkata, risiko penurunan kekal kerana situasi COVID-19 tidak pernah berlaku sebelum ini dan negara perlu menjangkakan yang tidak dijangka.

“Walau bagaimanapun, kami mempunyai ruang kapasiti dan fiskal untuk berdepan ketidaktentuan masa depan, dan kerajaan sedar betapa perlunya bertindak pantas.

“Dalam melalui masa yang mencabar ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan bahawa sistem kewangan kekal stabil dengan kecairan yang mendalam dan penampan yang utuh. Sistem kewangan hari ini mempunyai penampan modal melebihi RM121 bilion, berbanding hanya RM39 bilion ketika Krisis Kewangan Global 2008.

Mengenai pasaran modal pula, Tengku Zafrul berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan terus memastikan pasaran kekal terbuka, telus dan teratur.

Semalam, BNM mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara, yang diukur menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka sekitar antara -2.0 peratus hingga +0.5 peratus pada 2020.

Tengku Zafrul berkata, tinjauan pertumbuhan Malaysia yang mencabar, bagaimanapun, bukan tidak dijangka memandangkan kelembapan ekonomi global semasa berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sekatan dan kawalan pergerakan untuk membendung pandemik di seluruh dunia menjejaskan rantaian bekalan dan permintaan, dan Malaysia tidak terkecuali daripada situasi global itu.

Katanya, keadaan domestik terus mencabar memandangkan ancaman COVID-19 telah memberi kesan kepada semua aspek.

Tindak balas kerajaan ialah dengan melaksanakan pakej rangsangan PRIHATIN RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri minggu lalu. Dirangka untuk menangani kesan buruk COVID-19 di negara ini, PRIHATIN didorong oleh tiga objektif: melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi.

“Bagi mencapai tujuan ini, PRIHATIN dijangka menyumbang kira-kira 2.8 peratus kepada KDNK tahun ini. Inisiatif di bawah PRIHATIN terus dilaksanakan selepas pengumumannya,” katanya.

Tinggalkan komen anda