PKPD: Plaza Stesen LRT Masjid Jamek ditutup


shadow

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd, mengumumkan kesemua pintu keluar masuk Plaza Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ditutup bermula hari ini sehingga 28 April. 

LRT Masjid Jamek yang ditutup tersebut terletak bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat.

Satu kenyataan dari Prasarana Malaysia Berhad untuk Rapid Rail berkata, penutupan sementara ini berikutan perluasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Masjid India.

“Bagaimanapun, pintu keluar atau masuk bagi stesen LRT Masjid Jamek, bersebelahan dengan Masjid Jamek masih dibuka dan perkhidmatan LRT di situ akan beroperasi mengikut waktu operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”.

“Pengguna LRT dari laluan Kelana Jaya atau Laluan Ampang/ Sri Petaling hanya boleh membuat penukaran tren sahaja di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek.

Manakala bagi pengguna yang ingin ke atau dari arah Sentul Timur, mereka dinasihatkan untuk mengguna terowong sambungan di stesen tersebut bagi membuat penukaran serta untuk keluar atau masuk melalui bahagian stesen (bersebelahan Masjid Jamek) yang tidak ditutup”, katanya.

Selain itu, langkah tersebut diambil bertujuan membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak sepatutnya pergi ke kawasan terlibat.

Justeru, orang awam perlu sentiasa mematuhi PKP, menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan serta merancang perjalanan berikutan penutupan sementara ini. 

Untuk maklumat, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.

Tinggalkan komen anda