PKPD: Masjid India lenggang


shadow

Masjid India yang kebiasaannya menjadi tumpuan masyarakat kini lengang, apabila kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok, susulan peningkatan kes COVID-19 di lokasi itu.

Sebaik pelaksanaan arahan itu nanti, semua premis Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Melaka dan Jalan Munshi Abdullah wajib ditutup.

Bagaimanapun, dua kawasan dikecualikan daripada PKPD adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang terletak di belakang kediaman Plaza City One yang dikenakan arahan berkenaan pada 31 Mac lalu, dan pusat pengawasan gelandangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan Bernama di lokasi setakat 4 petang ini mendapati, kawasan berkenaan telah diletakkan pagar kawat berduri setinggi satu meter serta penghadang jalan di kesemua laluan utama.

Difahamkan pemasangan pagar kawat berduri itu telah dilakukan sejak malam tadi yang turut diletakkan di beberapa kawasan yang dipercayai menjadi ‘lorong tikus’, untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Selain itu, turut kelihatan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mula mengawal kawasan seluas satu kilometer persegi itu, dengan lebih ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan seluruh kawasan Masjid India dikenakan PKPD bermula esok, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di lokasi itu.

Perlaksanaan PKPD di kawasan itu akan melibatkan lebih 10,000 penduduk.

Jumlah itu termasuk lebih 6,000 individu mendiami flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta 3,200 penduduk di Plaza City One selain hampir 1,000 penduduk yang direkodkan tinggal di rumah kedai, sekitar kawasan Masjid India.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda