PKPD ketujuh dilaksanakan di Selayang Baru, Gombak sehingga 3 Mei


shadow

PUTRAJAYA, 25 April — Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ketujuh dilaksanakan di kawasan Selayang Baru, Gombak di Selangor mulai hari ini sehingga 3 Mei ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan untuk melaksana arahan PKPD ketujuh itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan.

” Ia melibatkan enam parcel yang dikenal pasti seperti berikut; Zon A, Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak, Selangor, Zon B, Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak, Selangor, Zon C, Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor, Zon D, Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor, Zon E, Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor dan Zon F, Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak, Selangor

“Arahan PKPD ketujuh itu dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19 setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan COVID-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksana sepanjang tempoh itu berkuat kuasa dan semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bahawa bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur di kawasan PKPD berkenaan pagi ini.

“Bantuan keperluan makanan asas mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu petugas agensi-agensi berkaitan.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092, 03-6126 1500 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247, 03-6126 2240,” katanya.

Tinggalkan komen anda