PKP: Seorang lagi remaja Rohingya ditahan polis Ampang


shadow

Seorang lagi remaja warga Rohingya dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas ditangkap oleh polis Ampang.

Rabu lalu, permohonan polis Ampang untuk perintah reman satu minggu terhadap remaja warga Rohingya yang berusia 13 tahun dibenarkan oleh mahkamah yang sama.

Menurut kertas pertuduhan dalam kes pagi ini, yang dilihat oleh Malaysiakini, remaja berusia 16 tahun itu ditangkap pada 13 April di Pandah Indah, Selangor ketika dia didapati berada di luar rumah tanpa alasan yang sah.

Dia didakwa atas satu tuduhan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Remaja itu mengaku tidak bersalah dan tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 1 Julai. Sekiranya didapati bersalah, dia boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya.

Ketika dihubungi, peguam Collin Arvind Andrew mengatakan bahawa anak guamnya telah ditangkap ketika menemani orang lain keluar membeli barangan runcit.

Mereka dalam perjalanan pulang ketika menemui sekatan polis berhampiran tempat mereka tinggal.

“Dia pergi membeli barang keperluan. Semasa dia ditangkap, dia ada semua barangnya – beras, tepung dan gula,” katanya.

“Kami faham ketika ini PKP, tetapi dia cuma kanak-kanak. Pasti ada budi bicara tertentu yang kita boleh gunakan ketika berurusan dengan mereka.

“Kami merasakan mereka tidak seharusnya didakwa, ada langkah lain seperti mengeluarkan kompaun atau memberi amaran dan kemudian membebaskannya,” tambah Andrew.

Peguam, yang mewakili remaja 16 tahun dan 13 tahun itu, juga mempersoalkan “perbezaan” dalam prosedur polis terhadap penahanan kedua-dua perlarian berekenaan.

Kedua-duanya pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).

“Yang ini (hari ini) ditangkap pada 13 April dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama. Dia tidak direman selama seminggu […]

“Adakah anda melihat perbezaannya? Kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun itu sebelum ini ireman selama seminggu,” katanya.

Tinggalkan komen anda