PKP : Mereka yang mahu pulang dari kampung boleh mohon mulai Sabtu


shadow

PUTRAJAYA – Orang ramai yang ingin pulang ke rumah masing-masing selepas tersekat di kampung halaman ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, boleh membuat permohonan bagi tujuan itu mulai Sabtu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia ataupun memohon di balai polis berhampiran.

“Bagaimanapun perkara ini masih dalam kajian, jika pergerakan akan  bermula pun saya percaya mungkin selepas 1 Mei nanti.

“Tak ada jaminan lagi, kerana setakat ini kita masih tunggu laporan mulai 25 April ini sebab setiap laporan ke balai polis atau dalam talian pun akan bermula pada 25 haribulan.

“Waktu itu kita akan lihat seramai mana nak pulang dan sebagainya, barulah kita boleh merancang dan keluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) tertentu yang ketat dan sebagainya,”katanya dalam sidang harian mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, boleh membuat permohonan di balai polis berhampiran tetapi perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis.

Selain itu, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.

“Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya,” katanya.

Tinggalkan komen anda