Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama dua minggu lagi, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, berdasarkan data-data yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan, usaha-usaha untuk membendung wabak Covid-19 masih perlu diteruskan.
“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.
“Saya tidak menolak kemungkinan PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari tidak dapat menyambut Aidilfitri di kampung seperti biasa tahun ini,” katanya dalam perutusan khas sempena Ramadan sebentar tadi.
Tambahnya, rakyat yang masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya.
“Namun, jika kes-kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial,” katanya.
Tinggalkan komen anda