PKP lanjut dua minggu lagi, umum PM


shadow

PERINTAH kawalan pergerakan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 April, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bagi membolehkan usaha menangani pandemik Covid-19 yang mula menunjukkan kesan terus dapat dikawal.

Muhyiddin juga membayangkan ia mungkin akan berlarutan untuk beberapa bulan sehingga penularannya diatasi sepenuhnya.

Katanya, kerajaan melanjutkan kawalan itu atas nasihat Kementerian Kesihatan dan pakar, bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan terus memerangi penularan wabak itu.

“Ia juga selaras dengan saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar perintah kawalan seperti itu tidak ditamatkan lebih awal.

“Seperti yang berlaku di beberapa negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen hari ini.

Lanjutan ini adalah untuk kali kedua sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 hingga 31 Mac diikuti fasa kedua sehingga 14 April ini.

“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.

“Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus,” katanya.

Jelas Muhyiddin, PKP setakat ini membantu usaha membendung penularan Covid-19 tetapi penularan wabak itu masih di peringkat pertengahan dan ia perlu diteruskan.

Malah katanya usaha itu akan diperhebatkan dengan tumpuan kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti punca penularan wabak.

“Kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku,” katanya.

Petugas kesihatan kelihatan di bangunan Selangor Mansion di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Dua bangunan kediaman itu dikenakan PKPD. Dua penempatan di Simpang Renggam, Johor dan tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat turut diletakkan bawah PKPD. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2020.
Petugas kesihatan kelihatan di bangunan Selangor Mansion di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Dua bangunan kediaman itu dikenakan PKPD. Dua penempatan di Simpang Renggam, Johor dan tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat turut diletakkan bawah PKPD. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2020.

Setakat ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) meletakkan empat kawasan di bawah perintah lebih ketat selepas penularan Covid-19 yang luar biasa di kawasan tersebut.

Kawasan yang diletakkan di bawah kawalan lebih ketat ialah dua penempatan di Simpang Renggam, Johor; tujuh kampung di Sungai Lui, dalam daerah Hulu Langat, Selangor, serta tiga bangunan kediaman tinggi dekat Masjid India di Kuala Lumpur.

Pengurungan itu membolehkan petugas kesihatan membuat saringan ke atas semua penduduk di kawasan tersebut, yang dikunjungi dan diperiksa dari rumah ke rumah.

Muhyiddin bagaimanapun memberi ingatan bahawa keadaan sudah tidak lagi sama walaupun penularan itu dapat ditangani.

Beliau mengingatkan tentang kebiasaan lama yang perlu ditinggalkan, diganti dengan kebiasaan baharu.

“Kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala.

“Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan.

“Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak,” katanya.

Menurut Muhyiddin, setakat ini pelaksanaan PKP mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan Covid-19.

Katanya, penularan Covid-19 di Malaysia ialah pada kadar 7% iaitu di bawah paras 10% yang disebut oleh WHO.

Kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia juga rendah iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.

“Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43% pesakit Covid-19 pulih,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan hari ini saja 220 orang lagi sembuh, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes.

Jumlah kes positif baharu juga menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu, katanya.

“Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal wabak Covid-19 ini daripada menular,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda