PKP : Dua ahli keluarga dibenarkan keluar beli barang keperluan, maksimum 10 km


shadow

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa keempat membenarkan dua orang anggota keluarga untuk keluar membeli barangan keperluan, makanan atau ubat-ubatan.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seorang anggota keluarga boleh disertai lagi seorang yang tinggal serumah manakala pergerakan tidak boleh melebihi 10 km radius.

“Turut dilonggarkan untuk individu-individu terbabit yang mahu mendapatkan bekalan makanan dan perkhidmatan perubatan.

“Namun, individu-individu berkenaan harus memilih premis yang paling dekat dengan kediaman masing-masing,” katanya dalam sidang media harian PKP di sini, hari ini.

Sementara itu, syarat-syarat pergerakan yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyatakan seseorang yang keluar untuk membeli barangan keperluan boleh ditemani seorang lagi ahli keluarga yang tinggal di rumah yang sama.

Kebenaran tersebut berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang dikemas kini dan diwartakan pada Selasa (28 April).

Peraturan terbaharu itu turut dimuat naik di laman web gazet Persekutuan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mula berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Tinggalkan komen anda