‘Perlu teliti SOP, jaminan pematuhan’


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti aspek prosedur operasi standard (SOP) dan jaminan ia dipatuhi sebelum mempertimbang untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Zon Hijau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya perlu memastikan pematuhan terhadap enam kriteria yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menamatkan PKP.

Beliau berkata, ia terutama dari segi pemerkasaan komuniti supaya kawasan dan penduduk di kawasan terbabit dilindungi daripada jangkitan.

“Kita perlu memastikan SOP siap dan boleh dipatuhi. Setakat ini, ia masih belum siap dan mungkin mengambil masa seminggu untuk melihat SOP itu.

“Jika sudah sedia dan KKM berpuas hati, mungkin kita dapat laksanakan (menamatkan PKP). Namun setakat ini, belum ada keputusan lagi,” katanya pada sidang media harian, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada KKM akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menamatkan PKP di Perlis yang sudah merekodkan 14 hari tanpa kes baharu COVID-19.

Tinggalkan komen anda