Pensyarah kerugian lebih RM116,000, ditipu Macau Scam


shadow

KUANTAN – Seorang pensyarah kerugian RM116,349 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan syarikat telekomunikasi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 57 tahun didakwa menerima panggilan telefon pada selasa lepas dari suspek lelaki yang menyamar wakil syarikat telekomunikasi untuk menyemak maklumatnya berkaitan salah guna perjudian internet. 

“Mangsa mendakwa memberikan kerjasama, kemudian suspek pertama telah menyambungkan talian kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban, Negeri Sembilan. 

“Suspek kedua memaklumkan selain nombor telefon, identiti mangsa juga digunakan untuk membuka akaun bank bagi menyimpan hasil judi yang berjumlah RM2.3 juta yang akan menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadap dirinya,” katanya.

Mohd Wazir berkata, ‘Inspektor’ berkenaan mengarahkan mangsa membuat sejumlah bayaran bagi mengelak ditangkap.

Difahamkan, mangsa yang panik telah membuat 14 transaksi pemindahan wang ke dua akaun yang diberikan suspek bermula Selasa sehingga semalam.

“Selepas bayaran itu dibuat, mangsa menyedari dia telah ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Tinggalkan komen anda