Pemandu lori maut ketika bantu mangsa kemalangan


shadow

SLIM RIVER – Niat baik seorang pemandu lori untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila maut dalam nahas membabitkan empat lori sekitar pukul 7.30 petang di KM384.5, Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan, di sini, semalam.

P. Govindasamy, 40, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala tiga pemandu lain terselamat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, keempat-empat kenderaan terbabit dalam perjalanan menuju ke Selangor.

“Kejadian itu awalnya berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun telah hilang kawalan.

“Keadaan itu menyebabkan lori terbabit terbabas dan melanggar besi pembahagi di tengah jalan sebelum berhenti dalam keadaan melintang di lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini,” hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso melihat kejadian itu telah berhenti di lorong kecemasan dan turun untuk memberi bantuan.

“Namun, berlaku pula perlanggaran membabitkan lori ketiga iaitu jenis Isuzu dan lori keempat jenis Scania yang masing-masing dipandu oleh lelaki berusia 25 dan 45 tahun.

“Lori Isuzu tersebut telah melanggar bahagian kanan belakang lori terbabas terbabit menyebabkan kenderaan itu berpusing.

Menurutnya, dari pelanggaran tersebut, mangsa yang sedang membantu telah tercampak hingga masuk ke bawah lori. Kemudian, lori Scania yang berada di belakang telah bergesel dan terlanggar lori di hadapannya.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tinggalkan komen anda