Pelajar IPT dibenarkan pulang mulai 27 April


shadow

PUTRAJAYA –  Pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.

Memetik Bernama, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja.

“Pelajar yang terlibat juga akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta topeng muka.

Beliau berkata, 53,000 pelajar atau 85 peratus pelajar IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terbabit dalam inisiatif itu manakala selebihnya memilih untuk kekal di kampus masing-masing

“Yang tidak berminat untuk pulang, mungkin mereka akan menduduki peperiksaan atau belajar secara dalam talian di kampus kerana di kampung akses internet terhad,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Justeru, kerajaan akan terus membekalkan makanan dan minuman untuk pelajar-pelajar tersebut.

Selain itu, mereka akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPT, setiap pelajar akan diambil dari kampus atau rumah sewa mereka dengan menggunakan bas dan dihantar terus ke balai polis atau pejabat daerah di kampung mereka.

“Mereka seterusnya akan dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah. Bermakna tiada ruang untuk mereka pergi ke tempat lain,” katanya.

Katanya, kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada kapasiti sebenar bas bagi memastikan jarak sosial dipatuhi.

Tambahnya, waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9.00 malam hingga 9.00 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal, ia diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Tinggalkan komen anda