JANGAN takut. Sempena imuninasi sedunia, ibu bapa disarankan membawa anak-anak mereka ke klinik bagi mendapatkan suntikan imunisasi.
Namun, akibat wabak penyakit COVID-19, ramai ibu bapa berhenti atau menangguhkan untuk mengambil suntikan ini, secara tak langsung akan mendedahkan risiko penyakit merbahaya kepada anak-anak mereka.
Banyak persoalan yang timbul di pemikiran ibu bapa seperti adakah klinik selamat, bukankah terdapat pesakit-pesakit COVID-19 di sana dan mungkinkah kita berisiko untuk mendapat COVID-19 ketika berjumpa jururawat dan doktor?
Walaubagaimanapun, ibu bapa perlu mengutamakan kesihatan anak-anak mereka. Pada masa ini, imunisasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan melindungi kanak-kanak daripada 12 jenis penyakit merbahaya iaitu penyakit cegahan vaksin. Ini termasuk tuberkulosis, hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertussis), polio, haemophilus influenzae B, campak, beguk, rubela, ensefalitis Jepun (JE), dan pelbagai kanser yang disebabkan oleh virus papiloma manusia (HPV).
Bayi dalam tempoh 18 bulan pertama kelahiran perlu mengambil kesemua vaksin kecuali HPV. Jika jadual pemberian imunisasi tidak dipatuhi, bayi akan terdedah kepada bahaya dan mereka tidak akan berupaya mempertahankan diri daripada pelbagai jenis kuman yang cuba menjangkiti tubuh badannya.
Disebabkan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengeluarkan kenyataan baru-baru ini, menasihati para ibu bapa agar tidak menunda imunisasi bayi mereka.
Beliau memberi jaminan bahawa klinik-klinik kesihatan kerajaan ibu dan anak beroperasi seperti biasa dan menyediakan perkhidmatan imunisasi bayi dan kanak kanak.
Oleh hal demikian, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rozita Binti Ab Rahman berkongsikan beberapa petua keselamatan.

Beliau berkata, yang pertama ibu bapa perlu mematuhi tarikh temujanji imunisasi yang telah ditetapkan. Kami akan mengaturkan temujanji secara berperingkat untuk semua pesakit.
“Ibu bapa digalakkan untuk sampai tepat pada waktunya, bagi setiap temujanji yang telah ditetapkan. Kerjasama anda akan membolehkan kakitangan menjarakkan lawatan-lawatan ke klinik, seterusnya mengelakkan dari berlaku kesesakan pada satu-satu masa.
“Sebelum bergerak ke klinik, pastikan anda membawa buku rekod imunisasi bayi. Sekiranya anda ditahan polis ketika dalam perjalanan, tunjukkan kepada mereka buku sebagai bukti tujuan perjalanan anda. Pihak polis akan membenarkan anda melepasi sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, anggota kesihatan akan melakukan saringan untuk anda dan bayi anda sebagai satu langkah pencegahan.
“Apabila tiba di klinik, kakitangan akan mengambil suhu anda di kaunter triaj. Mereka juga akan bertanya sama ada bayi anda atau anda mempunyai gejala seperti influenza (seperti demam, selsema, batuk, sakit tekak) dan sesak nafas.
“Kakitangan juga akan bertanya samada anda mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau pernah berhubung dengan mana-mana pesakit COVID-19. Sila jawab dengan jujur semasa saringan ini.
“Sekiranya anda melepasi peringkat saringan ini, anda akan dibenarkan masuk ke klinik Selepas itu, sila nyahjangkit tangan anda dengan bahan pencuci tangan (sanitiser) yang dibawa, jika tiada, sila gunakan bahan pencuci tangan yang tersedia dan pastikan anda menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter daripada pesakit berhampiran ketika menunggu giliran,” katanya.
Katanya, Hanya seorang sama ada ibu atau bapa yang dibenarkan untuk membawa bayi ke dalam bilik imunisasi. Ini adalah penting untuk mengekalkan jumlah orang yang hadir pada tahap minimum dan mengelakkan kesesakan.
“Masa yang dihabiskan di klinik adalah lebih singkat. Ibu bapa yang membawa bayi mereka akan dibawa masuk ke bilik rawatan, dapatkan suntikan dan pulang,” katanya.
Jelasnya, kakitangan di klinik kesihatan juga melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 termasuk memakai kelengkapan perlindungan diri pada setiap masa yang terdiri daripada alat penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan apron (dengan atau tanpa pelindung muka).
Katanya lagi, tidak semua klinik kesihatan menjalankan pengambilan sampel untuk pengesanan COVID-19, hanya klinik-klinik tertentu sahaja yang terlibat.
“Ibu bapa yang terlepas tarikh temujanji imunisasi anak-anak mereka semasa tempoh PKP untuk menghubungi klinik kesihatan masing-masing bagi mendapatkan tarikh temujanji yang baharu manakala mereka masih di kampung dan tidak dapat pulang ke rumah bawa anak-anak mereka ke klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan bagi mendapatkan suntikan imunisasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi program Immunise4Life, Datuk Dr Zulkifli Ismail turut mendorong para ibu bapa untuk terus mematuhi jadual imunisasi walaupun dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Dr Zulkifli yang juga seorang Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dengan memberi amaran bahawa gangguan terhadap aktiviti imunisasi rutin meskipun untuk satu jangka waktu yang singkat akan meningkatkan tercetusnya penyakit cegahan vaksin. Ini termasuklah campak, difteria, batuk kokol dan lain-lain.
“Keputusan KKM untuk meneruskan perkhidmatan imunisasi rutin semasa PKP adalah selaras dengan cadangan WHO. Bagaimanapun, jangkitan COVID-19 di negara kita adalah masih terkawal dan kapasiti sistem kesihatan kekal utuh.
“Namun, jika ibu bapa mahu, mereka mempunyai pilihan untuk membawa anak mereka ke klinik swasta untuk mendapatkan imunisasi,” katanya.
Dr Rozita dan Dr Zulkifli kedua-duanya bersetuju bahawa memutuskan rantaian COVID-19 adalah penting. Namun, adalah sama pentingnya untuk ibu bapa terus melindungi anak-anak mereka daripada penyakit-penyakit cegahan vaksin.
Tinggalkan komen anda