PUTRAJAYA – Timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat yang menyangka permohonan yang diumumkan semalam adalah untuk pulang ke kampung.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai yang salah faham apabila beliau mengumumkan perkara tersebut.
“Sesiapa yang berada di bandar tidak boleh balik kampung sejak daripada awal lagi tak boleh, saya tahu ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga tetapi memang kita tak benarkan.
“Yang saya sebut semalam, adalah untuk mereka yang terperangkap di kampung dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata sebaik diumum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa bermula 18 Mac, ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung dan kini terkandas di kampung lebih sebulan.
“Jadi kita minta mereka mendaftar namun keputusan masih belum dibuat kerana kita cuma benarkan mereka lapor kepada polis melalui dalam talian mulai 25 April supaya kita dapat informasi yang jelas berapa ramai sebenarnya yang balik sebelum PKP dan yang ingin balik semula ke tempat kerja masing-masing.
“Maklumat yang diterima ini akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) paling awal 1 Mei untuk mereka bincang. Selepas itu baharu kita tahu sama ada dibenarkan pulang atau tidak.
“Jadi bukan automatik mereka (yang terkandas di kampung) boleh balik ke Kuala Lumpur (dan negeri-negeri lain),” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, situasi kepulangan mereka di kampung ke bandar dengan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) berbeza kerana pelajar IPT akan dibawa pulang dengan bas dan status kesihatan mereka di kampus dipantau berbanding mereka yang pulang ke kampung dan tidak diketahui status kesihatannya.
Tinggalkan komen anda