Nilai Barang Bantuan Hanya RM35?


shadow

Bantuan makanan Covid-19 kerajaan untuk golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40) tidak bernilai RM100 seperti dijanjikan, dakwa ahli Pakatan Harapan (PH).

Sepatutnya barangan keperluan tersebut yang diperuntukkan sebanyak RM100 telah bertukar menjadi RM35 sahaja. Kenapa boleh jadi begini? Manakah pergi baki wang tersebut?

Memetik MalaysiaKini, ahli parlimen (MP) Rasah Cha Kee Chin memberitahu bahawa pejabatnya menerima 150 bungkusan malam tadi tetapi nilainya dianggarkan cuma sekitar RM35.

Bantuan ini adalah sebahagian daripada 1,000 bungkusan makanan Covid-19 untuk golongan berpendapatan rendah B40 bagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diperuntukkan untuk setiap kawasan parlimen.

Cha berkata, dalam setiap bungkusan terdapat tujuh barangan, iaitu lima kilo beras, sekilo minyak masak, satu paket bihun kering, satu paket biskut teh dan kopi segera.

“Kami buka lepas pembantu saya bawa balik bungkusan makanan (ke pejabat) dan kandungannya di luar jangkaan.

“Beras itu ada tanda harga RM13, harga minyak dan bihun bernilai antara RM2 ke RM3 setiap satu. Bungkusan makanan ini mungkin bernilai, paling tinggi pun, RM35,” katanya.

Malaysiakini

Menurut beliau, bungkusan makanan tersebut diberi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia cuba mendapatkan penjelasan tetapi pegawai berkenaan memberi jawapan barangan yang diterima itu daripada orang atasan.

Jika dibandingkan dengan kawasan parlimen Kulai dan Cheras, nilai bungkusan makanan yang disumbangkan menghampiri nilai RM100 seperti dijanjikan kerajaan.

MP Kulai dari DAP Teo Nie Ching dan MP Cheras Tan Kok Wai kedua-duanya mengesahkan bahawa nilai bungkusan makanan yang diterima mereka adalah sekitar RM100.

Menurut Teo, terdapat 10 barangan dalam bungkusan makanan itu: beras 10kg, minyak masak 5kg, gula 2kg, tepung gandum 2kg, setin sardin, dua tin susu sejat, dan satu pek biskut, bihun, dan teh/kopi.

Namun, Tan turut mendakwa dia dinafikan bahagian bantuan makanan itu kerana dia merupakan wakil rakyat pembangkang. Manakala peruntukan 1,000 bungkusan untuk kawasan Bandar Tun Razak di bawah Timbalan Menteri Luar Negeri Kamaruddin Jaafar pula sudah pun diagihkan.

Selain itu, MP Segambut Hannah Yeoh mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan bantuan makanan untuk kawasan masing-masing dan bagi kawasan beliau hanya menerima 250 bungkusan sahaja.

Siapakah yang sepatutnya dipersalahkan? Kerajaan diminta menyelesaikan segera isu ini.

Perkara sama tetap berulang, sikap songlap-menyonglap susah untuk dikikis. Dalam keadaan sekarang masih lagi yang mahu mengambil kesempatan.

Tinggalkan komen anda