MP PH dakwa PN ‘rampas’ agihan bantuan makanan


shadow

Anggota parlimen PH mendakwa bantuan makanan bagi setiap kawasan parlimen terganggu kerana campur tangan politik oleh kerajaan PN.

Setiap MP sepatutnya menerima dan mengedarkan 1,000 bungkusan bantuan bernilai RM100 yang diberikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun juga ialah pengerusi YKN.

Menurut MP Kulai Teo Nie Ching, pusat khidmat masyarakat kawasannya telah menyediakan senarai nama kepada pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah pada Ahad lalu.

Kira-kira 600 keluarga sejak itu mendapat bantuan, tetapi Teo mendakwa bantuan berkenaan telah ditangguhkan kerana campur tangan politik.

Dakwa Teo, JKM telah menerima arahan supaya bantuan tersebut diserahkan kepada Presiden MCA Wee Ka Siong untuk diagihkan.

“Pihak agensi terpaksa menangguhkan buat sementara waktu sehingga arahan terbaharu diterima oleh mereka.

“Saya ingin mengetahui adakah Wee Ka Siong memberi arahan ini?

“Jika adalah benar, mengapa perlu sebegini rupa sedangkan pembahagian telah dibuat sebelum ini,” kata Teo dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Wee bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya mendesak kementerian itu memandang serius isu campur tangan parti politik dalam perkara kebajikan masyarakat.

“Mempolitikan setiap isu perlu diberhentikan supaya kepentingan rakyat dapat diutamakan semasa krisis Covid-19 ini,” jelas Teo.

Katanya, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menyalurkan sumbangan kepada mereka yang susah dan derita secepat mungkin.

Sebelum ini, kata Teo pejabat Parlimen Kulai telah membantu 600 buah keluarga di kawasan Kulai sejak 18 Mac 2020 melalui Program Sumbangan PKP Covid-19.

Bagaimanapun, jelasnya program tersebut juga menghadapi halangan apabila arahan bahawa NGO tidak dibenarkan mengagih sumbangan.

“Kami ikut arahan tersebut dan bekerjasama dengan JKM daerah Kulai,” katanya lagi.

Bukan saja Teo yang terkesan, MP Hulu Langat Hasannuddin Yunus juga memberitahu Malaysiakini bantuan di kawasan parlimennya diagihkan kepada tiga wakil PN daripada Umno, PAS dan Bersatu.

“Maklumat yang saya terima, arahan ini datang dari menteri (Rina Harun) untuk bantuan diberikan kepada tiga parti ini (untuk diagihkan).

“Ini tidak adil untuk mengagihkan (bantuan kerajaan) melalui parti politik,” katanya menegaskan bantuan patut disalurkan menerusi penyelaras kawasan parlimen.

Bagaimanapu, Hasannuddin berkata beliau tidak jelas jika PN telah melantik penyelaras parlimen di kawasan pembangkang.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Rina bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Tinggalkan komen anda