Menteri: ‘Ramadan ini, masa Mok De, anak berimamkan Pok De’


shadow

Dengan kedatangan bulan Ramadan, umat Islam bakal menjalani ibadah puasa dalam kebiasaan baru akibat wabak Covid-19, kata Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut beliau, pada tahun ini tiada bazar Ramadan, majlis berbuka puasa di masjid atau surau, solat tarawih di masjid dan juga moreh.

“Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah.

“Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz aldin) dalam maqasid al-syariah. Namun, memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga adalah penting ketika ini,” katanya dalam perutusan khas melalui RTM.

Bagaimanapun, kebiasaan baru itu jelasnya perlu dimanfaatkan umat Islam seisi keluarga dalam melaksanakan tuntutan agama.

“Mat, buat apa di rumah di siang Ramadan? Takkan main Twitter je? Bacalah al-Quran sama-sama.

“Ajak adik, kakak dan abang. Mungkin boleh buat tadarus al-Quran. Mak atau ayah boleh dengar dan betulkan bacaan,” kata beliau.

Menariknya hari ini, Dr Zulkifli menggunakan nama gelaran ‘Pok De dan Mok De’ bagi menyampaikan nasihat supaya ahli keluarga digalakkan menunaikan ibadah secara berjemaah.

“Kalau sebelum ini, Pok De rajin solat di masjid. Inilah masanya Mok De dan anak-anak nak solat berimamkan Pok De.

“Pok De pun, takkanlah asyik Surah al-Ikhlas dan Surah al-Takathur sahaja. Bacaan pun tiru-tirulah Syeikh Bandar Balela dan Syeikh Abdul Rahman al-Sudais,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju untuk membenarkan operasi bazar dijalankan secara atas talian menerusi kaedah pesanan dan penggunaan perkhidmatan e-hailing untuk penghantaran.

Meskipun tiada bazar Ramadan, Zulkifli yang turut menggunakan kata nama gelaran “Ali, Ah Chong dan Uncle Muthu” bagi menggambarkan rakyat Malaysia, berkata masyarakat masih boleh memperat jalinan hubungan antara satu sama lain dengan saling bersedekah.

“Encik Ali boleh tempah nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Auntie Tan boleh tempah KFC, sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah nasi kerabu, sedekahkan kepada Uncle Muthu. 

“Ramadan adalah bulan sedekah dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita. Cuma, ingatan saya kepada rakyat Malaysia untuk tidak membazir. Makan dan minumlah seadanya,” katanya.

Dapur masjid bantu juadah berbuka asnaf

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli turut memaklumkan kerajaan akan mengadakan program Dapur It’am, bagi memastikan sekurang-kurangnya ada makanan berbuka puasa khususnya bagi golongan asnaf, gelandangan dan B40 di Wilayah Persekutuan.

Menurut bekas mufti lagi, program Dapur It’am bertujuan membudayakan masjid sebagai pusat kebajikan golongan memerlukan, seperti program perkongsian makanan dapur jalanan (soup kitchen).

Operasi dapur ini, jelasnya lagi melibatkan enam petugas yang diberi suntikan tifoid, masing-masing tiga orang bagi persiapan awal dan proses memasak.

“Maknanya dapur untuk kita masak kepada penduduk yang tinggal setempat. Tetapi masjid sentiasa ditutup pintu.

“Akan ada prosedur operasi standard seperti petugas terhad enam orang, memakai sarung tangan, topeng muka dan cecair pembasmi kuman,” tambahnya lagi.

Zulkifli turut berkata bungkusan makanan yang dimasak akan diserahkan kepada wakil tanpa perlu menunggu untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Menjelaskan lanjut, katanya masjid dan surau terlibat akan mendapat peruntukan RM1,000 setiap hari untuk dimanfaatkan bagi menampung 25,200 keluarga dan ini akan dilakukan sepanjang Ramadan ini.

Umat Islam dijangka akan memulakan ibadah puasa pada esok hari ketika negara masih berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula pada 15 April lalu.

Tinggalkan komen anda