Mavcom dibidas gagal lindungi pengguna


shadow

Dua kumpulan pengguna membidas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana memberi kelonggaran kepada syarikat penerbangan gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan untuk membuat pembayaran balik kepada pengguna yang menempah penerbangan dibatalkan.

Jurucakap Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) mendakwa suruhanjaya itu memihak kepada industri penerbangan sehingga menjejaskan pengguna.

Bekas ketua pegawai eksekutif Fomca Paul Selvaraj berkata, syarikat penerbangan perlu membuat pembayaran balik tunai atau, jika mereka menawarkan nota kredit, memberi insentif kepada pengguna yang menerimanya.

“Pengguna perlu mempunyai hak untuk pembayaran balik tunai kecuali mereka bersetuju dengan bentuk pengembalian lain.

“Syarikat penerbangan tidak mempunyai hak untuk memaksa pengguna menerima syarat mereka.

“Mavcom, sebagai badan kawal selia, perlu memastikan perlindungan dan kesejahteraan pengguna.”

Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon berkata membenarkan syarikat memutuskan sendiri dasar pembayaran balik tidak boleh diterima.

Katanya, MCM menerima banyak aduan terhadap syarikat penerbangan yang enggan memberi pembayaran balik.

Beliau berkata, syarikat penerbangan perlu cukup beretika untuk membenarkan pelanggan memilih antara kredit, baucar dan pembayaran balik.

“Tiada kos untuk syarikat penerbangan kerana perjalanan belum dilakukan. Jadi, kenapa menolak pembayaran balik?”

Beliau mendakwa beberapa syarikat penerbangan mengarahkan peguam mereka menakutkan pelanggan dengan memetik peruntukan undang-undang.

Merujuk kenyataan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) baru-baru ini, Darshan berkata: “Ia mengejutkan yang syarikat penerbangan menyimpan berbilion ringgit hasil jualan tiket dan kutipan cukai. Kami tertanya-tanya berapa banyak yang dipegang pemain tempatan.”

Beliau menggesa Mavcom tampil dengan penyelesaian, bukannya menjauhkan diri daripada perkara itu.

Katanya, Putrajaya patut campur tangan untuk melindungi pengguna.

Minggu lalu, Mavcom berkata, ia akan memberi kelonggaran kepada syarikat penerbangan dalam menyelesaikan aduan dan pembayaran balik kerana ia memahami cabaran yang mereka hadapi akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ia berbuat demikian “dalam semangat membantu industri itu” kerana banyak penerbangan dibatalkan yang menjejaskan pendapatan serta aliran tunai syarikat penerbangan.

Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia, syarikat penerbangan dikehendaki menyelesaikan aduan dan membuat pembayaran balik kepada pengguna dalam masa 30 hari daripada penerimaan aduan dan tuntutan.

Rabu lalu, Matta menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Mavcom kerana baucar dan mata yang ditawarkan syarikat penerbangan tidak berguna jika mereka dibubarkan.

“Bagaimana jika syarikat penerbangan asing memilih untuk menghentikan operasi di Malaysia? Adakah Mavcom sudah mengambil kira semua faktor ini?” soal Presiden Matta, Tan Kok Liang.

Katanya, Putrajaya perlu mempertimbangkan pemberian pinjaman mudah kepada syarikat penerbangan tempatan untuk membantu mereka mengharungi kesukaran sekarang.

Tinggalkan komen anda