Malaysia guna kaedah bersasar berbanding saringan besar-besaran, kata KKM


shadow

MALAYSIA akan kekal dengan kaedah bersasar dalam membendung Covid-19 berdasarkan lokasi dan kumpulan berisiko tinggi, sekali gus menolak pelaksanaan ujian saringan secara besar-besaran, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Jika ada lokasi mempunyai kes baharu yang tinggi, kita akan melakukan ujian terhadap penduduk di sana,” katanya pada sidang harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai fokus terhadap kumpulan bersasar dalam membendung penularan wabak itu.

“Kumpulan tabligh dari himpunan di Sri Petaling merupakan antara sasaran. Seterusnya kita mensasarkan 197 sekolah tahfiz.

Beliau berkata KKM sudah menjalankan ujian terhadap 3,892 daripada 11,045 pelajar tahfiz di negara ini.

“Daripada jumlah itu, 277 diuji positif dan kita akan terus menyaring kumpulan tersebut.

Beliau berkata kaedah bersasar mencatatkan purata 5% kes positif daripada setiap kumpulan sasaran yang diuji.

“Kita sudah menguji lebih 105,000 kes dan keputusanya 5,305 positif.”

Dalam perkembangan harian, Dr Noor Hisham berkata KKM sudah mengambil 26,199  sampel daripada 28,201 individu yang berkait kluster tabligh.

Jumlah kes positif daripada kluster itu adalah 1,946 manakala 22,900 lagi negatif.

Malaysia mencatatkan jumlah kes positif terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dengan 54 kes baharu hari ini.

Namun angka kematian meningkat kepada 88 orang dengan dua lagi korban dicatatkan hari ini.

Tinggalkan komen anda