PUTRAJAYA – Tempoh lanjutan 90 hari akan diberikan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi urusan melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, urusan berkenaan merangkumi pendaftaran bayi baru lahir dan kematian.
“Disebabkan kawalan pergerakan PKP ini, kerajaan faham semua urusan pendaftaran kelahiran dan kematian bagi warganegara Malaysia tertangguh.
“Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama 90 hari selepas tempoh PKP ditamatkan. Selain itu, KDN juga telah membuat keputusan bayaran penalti dikecualikan,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.
Sementara itu, jelas Sabri mengenai mereka yang kehilangan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan, boleh menghubungi JPN dan adakan temu janji dengan pegawai pendaftaran negara.
Manakala rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang mempunyai masalah yang sama, tempoh 90 hari turut diberikan selepas tamat PKP di negara masing-masing.
Tinggalkan komen anda