KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga produk kosmestik iaitu Sifu Kunyit Day Cream, Sifu Kunyit Night Cream dan JJ Skincare Glowhite Night Cream dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya berhenti membeli atau menggunakan produk berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga produk berkenaan dikesan mengandungi hydroquinone, tretinoin, betamethasone valerate dan merkuri.
“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Beliau menasihati orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.
Jelasnya, betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
“Hydroquinone pula menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
“Merkuri pula dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan malah, ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf, menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.
Penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.
Orang awam diminta untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Tinggalkan komen anda