KKM: Belum ada penghantar makanan positif Covid-19


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum mengesan sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan penghantar makanan di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, mereka yang terlibat dalam perkhidmatan itu perlu melakukan langkah pencegahan iaitu menjalani ujian saringan di klinik kesihatan atau klinik swasta bagi memastikan mereka bebas daripada virus itu.

“Bagi mereka yang berdaftar, menjadi tanggungjawab syarikat menanggung kos ujian saringan, bagi mereka yang tidak berdaftar mereka digalakkan untuk tampil ke klinik kesihatan KKM atau swasta bagi memastikan mereka sihat untuk menjalankan tugas mereka.

“Ini kerana kita melihat mereka ini sebagai golongan yang berisiko terdedah kepada virus ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata semua pekerja penghantar makanan yang berkhidmat dengan syarikat e-hailing atau dilakukan secara individu perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Media luar negara melaporkan seorang penghantar piza di Delhi disahkan positif Covid-19 dan meneruskan kerjanya walaupun menunjukkan simptom dijangkiti virus itu selama 20 hari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga mencadangkan agar golongan penghantar makanan diwajibkan menjalani saringan kesihatan seperti juga pengendali makanan sekarang ini.

Dalam pada itu katanya KKM juga sedang meneliti garis panduan wakil rakyat yang mahu turun padang bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk kawasan mereka.

Perkara itu akan turut dibincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini bagi memastikan semua pergerakan akan mematuhi langkah pencegahan seperti jarakan sosial dan sebagainya,” katanya. 

– Bernama

Tinggalkan komen anda