Kerajaan mungkin benarkan pelajar terperangkap pulang selepas SOP dikaji


shadow

Kerajaan mungkin membenarkan pelajar yang terperangkap di kampus pusat pengajian berikutan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac pulang ke keluarga masing-masing selepas tatacara operasi standard berkaitan dikaji.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan perlu mengambil kira rangka masa untuk menyaring hampir 100,000 pelajar terbabit dan mahu mengelakkan pergerakan besar-besaran bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi akan memperhalusi SOP jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi pulang ke rumah masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau juga memaklumkan hasil pemantauan kementerian selama sebulan mendapati tiada kluster Covid-19 di kampus dan para pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan.

“Hari ini kita dapat pandangan dari KKM, pelajar berada di kampus lebih 28 hari -kalau di kuarantin 2 kali 14 hari – kita boleh anggap mereka tidak ada jangkitan, jadi kita bincang ada kemungkinan kita boleh bawa mereka pulang,” katanya.

Ismail menjelaskan kajian SOP penting bagi perkara ini memandangkan pelajar dalam perjalanan jauh akan berhenti di kawasan rehat dan rawat.

“Jadi kita bimbang akan ada jangkitan,” tambahnya.

Ismail berkata pihaknya juga sedang melihat untuk membenarkan rakyat yang sudah lama berada di kampung kembali bandar untuk bekerja.

“Kita akan dapatkan nasihat KKM,” katanya.

Tinggalkan komen anda