Kediaman warga asing digempur


shadow

Polis menggempur kawasan kediaman warga asing di sekitar Bukit Bintang, di sini, berikutan menerima maklumat kedegilan dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan mereka.

Ketika sebahagian warga asing terbabit sedang leka berkumpul bersama rakan di kawasan terbuka, berkumpul di hadapan kedai, sepasukan polis dari daerah Dang Wangi menyerbu Jalan Angsoka, Jalan Bedara, Jalan Changkat dan di kawasan sekitarnya.

Pada masa sama, pihak polis turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tengkat Tong Shin, bagi mengesan sebarang kemasukan individu yang melanggar PKP.

Malah pemeriksaan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) turut memeriksa seluruh pelusuk kawasan Bukit Bintang bagi mengesan individu ingkar PKP.

Hasil tinjauan BH, mendapati kesemua mereka yang ditahan didapati berkumpul tanpa sebarang tujuan; melepak di hadapan kedai sekitar Bukit Bintang; serta berjalan lebih dari seorang atau berkumpulan.

Selepas dikumpulkan lebih 20 warga asing ditahan di Jalan Angsoka, manakala sebahagian lagi ditahan di kawasan Jalan Changkat dan Jalan Berangan.

Kesemua warga asing terbabit kemudian diarah menaiki trak polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Anggota polis menahan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan Bukit Bintang. - NSTP/Asyraf Hamzah
Anggota polis menahan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan Bukit Bintang. – NSTP/Asyraf Hamzah
Unit Rondaan Bermotosikal (URB) membuat rondaan sekitar kawasan Bukit Bintang serta menahan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - NSTP/Asyraf Hamzah
Unit Rondaan Bermotosikal (URB) membuat rondaan sekitar kawasan Bukit Bintang serta menahan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah, berkata pihaknya kerap melakukan pemeriksaan berkala ke lokasi itu setiap hari.

Bagaimanapun, warga asing terbabit tidak mengendahkan dan mengambil kesempatan mengingkari arahan PKP apabila ketiadaan polis.

“Pihak polis sering mempertingkatkan pemeriksaan dan rondaan di kawasan terbabit dari masa ke masa dan tujuan utama kita adalah untuk mencegah penularan dan penyebaran COVID-19.

“Selain di Bukit Bintang, pihak polis daerah Wangi turut menumpukan tindakan penguatkuasaan PKP di Masjid India, yang sudah diletakkan sebagai zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD); Kampung Baru serta sekatan jalan raya sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi terhadap sebarang tindakan membabitkan warga asing atau tempatan sekiranya mereka benar-benar bersalah, mereka akan ditahan.

Tinggalkan komen anda