Kedai barangan logam, kedai elektrik dan elektronik, perkhidmatan dobi dibenar beroperasi


shadow

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan tiga subsektor tambahan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga yang berakhir 28 April ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata tiga subsektor berkenaan ialah kedai barangan logam, kedai barangan elektrik dan elektronik (tidak termasuk kedai peralatan telekomunikasi dan peralatan ICT) serta perkhidmatan dobi penuh.

“Semua permohonan bagi subsektor tambahan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) secara dalam talian di laman sesawang www.miti.gov.my (https://application.miti.gov.my).

“Hanya permohonan yang menepati syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dan lengkap sahaja akan dipertimbangkan. Permohonan yang diterima selain daripada melalui portal tersebut tidak akan diproses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat terbabit juga hendaklah memastikan lokasi operasinya tidak berada di Zon Merah, Zon Kuning atau kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh PKP.

“kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa. 

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta,” ujarnya.

Tinggalkan komen anda