Dituduh serang KKM, Afif kecam laporan portal berniat jahat, mengelirukan


shadow

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin menafikan dakwaan sebuah portal berita yang mendakwa beliau menyerang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Adun dari PKR itu menganggap laporan portal Malaysian Dateline sebagai “berniat jahat”, dan berkata beliau hanya menyuarakan pandangan mengenai hala tuju dasar kerajaan berhubung pandemik Covid-19 di Twitter.

“Laporan berita oleh Malaysia Dateline ini adalah tidak benar dan mempunyai unsur fitnah secara terang-terangan yang cuba menjatuhkan imej saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Sejak awal dan sebagai anggota KKM sehingga 2013, saya memahami sepenuhnya kepentingan perkhidmatan dan budaya KKM,”katanya lagi, yang merupakan bekas exco kesihatan Pulau Pinang.

Afif merujuk kepada laporan Malaysia Dateline yang disiarkan semalam, bertajuk “Selepas kena serang kes gunting rambut, pegawai MITI serang KKM,” yang turut disifatkannya sebagai mengelirukan.

Semalam, Afif membangkitkan rancangan KKM untuk rakyat membiasakan diri dengan ‘kebiasaan baru’ setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat.

Beliau berkata PKP tidak akan menghilangkan virus Covid-19, dan bertanya apakah rancangan akhir (endgame plan) negara untuk menghadapi wabak itu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk memasukkan perkhidmatan gunting rambut dan cermin mata dalam senarai sektor yang boleh beroperasi sepanjang tempoh PKP, agar ditangguh terlebih dahulu.

Afif kemudian mempertahankan keputusan Miti tersebut, antara lain dengan mengatakan menggunting rambut mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.

Sementara itu, Afif berkata sebagai wakil rakyat, beliau sangat menghargai dan memuji usaha barisan hadapan di KKM dalam membendung Covid-19.

Beliau juga menuntut Malaysia Dateline untuk menyiarkan permohonan maaf serta menurunkan laporan tersebut.

“Jika Malaysia Dateline gagal melakukannya, saya akan mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk membersihkan nama saya,” kata bekas timbalan ketua pemuda PKR itu lagi.

Tinggalkan komen anda