COVID-19 : Sukar kenal pasti pelancong dari Wuhan, antara cabaran Imigresen


shadow

Sukar mengenal pasti pelancong dari Wuhan, China, selain berdepan penyelarasan dasar dengan pelbagai pihak termasuk syarikat penerbangan dan pihak berkuasa di lapangan terbang merupakan antara cabaran Jabatan Imigresen dalam mengharungi penularan wabak COVID-19.

Ketua pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sungguhpun begitu pihaknya berjaya mengenal pasti beberapa langkah dalam mengatasi isu terbabit seperti mengenal pasti wilayah rakyat China dengan merujuk kepada pasport mereka.

“Selesai satu masalah ketika itu, imigresen berjaya menyekat rakyat China yang pasportnya dikeluarkan dari wilayah Wuhan termasuk Hubei.

“Jabatan Imigresen juga berdepan isu penyelarasan dasar untuk bergerak lebih efisien bersama semua pemegang taruh yang jika berlaku sedikit kelewatan, ia boleh menyebabkan warga asing terkandas di lapangan terbang kita,” katanya kepada Bernama dalam sidang media khas, di sini.

Beliau berkata pihaknya akhirnya menerima kerjasama baik daripada syarikat penerbangan, pihak berkuasa di lapangan terbang dan semua pemegang taruh dalam menyampaikan maklumat berkaitan keputusan kerajaan berhubung isu wabak ini.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya turut berdepan isu warga asing, misalnya dari Eropah yang pernah mempunyai sejarah mengunjungi wilayah Wuhan.

“Kami mencadangkan satu borang untuk diisi bagi diisytiharkan sekiranya warga asing ini pernah berada di wilayah terbabit atau tidak.

“Jika mereka memberi maklumat palsu, warga asing ini boleh dihalau keluar dan tidak dibenarkan melancong atau melawat Malaysia,” katanya.

Berikutan itu, Khairul Dzaimee berkata kerajaan seterusnya mengenakan sekatan perjalanan ke atas beberapa wilayah di Itali dan di Jepun.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19 ketika berdepan dengan pelawat asing semasa bertugas terutama yang tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19 tetapi kemudiannya didapati positif wabak terbabit.

Khairul Dzaimee berkata ini berikutan terdapat pelawat asing yang tidak dapat keluar meninggalkan negara ini akibat sekatan kemasukan perjalanan oleh kebanyakan negara lain selain tiada penerbangan dilakukan.

“Selain itu, pihak imigresen turut terdedah dengan pelbagai penyakit akibat prosedur pemeriksaan pelawat yang turut melibatkan proses soal siasat.

“Soal siasat ini menyebabkan jarak sosial sukar dilaksanakan semasa mengendalikan pelawat asing dan kami menghadapi kesukaran dalam mendapatkan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Beliau berkata imigresen juga sukar untuk mendapatkan PPE dari pasaran maka ia mengundang risiko jangkitan kepada pegawai imigresen di lapangan ketika bertugas.

— BERNAMA  

Tinggalkan komen anda