TAIPING – Prihatin dengan nasib gelandangan yang berkeliaran ketika rakyat lain diarah berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah badan bukan kerajaan dengan kerjasama agensi kerajaan mengambil inisiatif membuka Pusat Penempatan Sementara untuk golongan itu.
Pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Pinang, Taman Kamunting Permai di sini yang mula beroperasi petang semalam dibuka dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan, Jabatan Kesihatan dan polis.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping, Faizzul Amri Shahabuddin berkata sebanyak 20 unit kubikel disediakan APM di dalam dewan itu untuk gelandangan di sekitar daerah berkenaan setakat ini.
“Selain tempat perlindungan, para gelandangan yang dibawa ke sini juga diberi keperluan asas seperti pakaian, tuala, selimut, bekalan elektrik dan bilik air yang bersih selain diberi makan sebanyak tiga kali sehari hasil sumbangan daripada ahli KMM dan orang ramai.
“Kita mahu mereka tinggal di sini kerana kebersihan diri akan terjaga sekaligus mengelakkan mereka bergerak ke sana ke sini ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Semua gelandangan yang dibawa ke pusat itu juga akan menjalani saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, KMM mempunyai maklumat mengenai keberadaan gelandangan di daerah ini kerana sebelum ini pertubuhan berkenaan dengan keahlian lebih 100 orang giat memberi makanan kepada golongan berkenaan pada setiap Selasa dan Jumaat.
Orang ramai yang ingin memberi wang sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 558051349924 atas nama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen dengan menulis rujukan ‘PKP’.
Sementara itu, seorang gelandangan yang ditemui di pusat itu, Ishak Hasan, 61, berkata dia amat bersyukur kerana diberikan tempat tinggal dan makanan ketika ini berikutan kebanyakan kedai dan gerai makan tutup sejak perintah itu dilaksanakan.
Menurut Ishak, punca pendapatannya sebelum ini dengan mencari dan menjual barang lusuh juga tidak dapat dilakukan kerana kedai besi buruk yang biasanya membeli barang-barang kutipannya turut ditutup semasa PKP.
“Selalunya, saya boleh dapat paling banyak RM15, cukuplah untuk saya makan setiap hari tetapi sekarang kedai besi buruk di bandar Taiping pun tutup jadi saya tidak mempunyai wang untuk makan namun, bersyukur kerana saya dan gelandangan lain sering mendapat sumbangan makanan dan wang daripada orang ramai,” katanya.
Ishak yang berasal dari Bagan Serai berkata nasibnya berubah selepas berpisah dengan bekas isterinya kira-kira 20 tahun lepas dan kehilangan kerja sejak beberapa bulan lepas atas faktor usia dan kerana menghidap sakit jantung.
Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri akan menyediakan tempat perlindungan dan bantuan makanan untuk gelandangan di negeri ini selewat-lewatnya minggu ini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
SUMBER – BERNAMA
Tinggalkan komen anda