COVID-19: Malaysia Airlines bawa warga Belanda terkandas di Nepal, Filipina


shadow

Malaysia Airlines membawa pulang 176 warga Belanda yang terkandas di Nepal dan Filipina menggunakan dua pesawatnya pada Khamis, selepas kedua-dua negara tersebut melaksanakan sekatan pergerakan yang lebih ketat susulan pandemik COVID-19.

Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan menggunakan pesawat sewa khas yang dibiayai oleh kerajaan Belanda untuk membawa warganya ke Kuala Lumpur. 

Penerbangan MH8731 membawa 122 penumpang dari Kathmandu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 malam semalam. Penerbangan itu menggunakan pesawat Boeing 737-800 bersama lima anak kapal.

Bagi penerbangan MH8675, syarikat penerbangan itu turut menggunakan pesawat yang sama bersama lima anak kapal dan tiba di KLIA dari Cebu pada 4.05 petang dengan membawa 54 warga Belanda. 

“Setibanya di KLIA, mereka menaiki pesawat Belanda, KLM yang menerbangkan mereka pulang ke Amsterdam. Terdapat empat penerbangan balik yang dijadualkan,” menurut kenyataan itu.

Nepal telah menghalang semua ketibaan dan pelepasan penerbangan antarabangsa ke negara itu sehingga 12 April ini manakala Filipina pula telah melarang semua warga asing masuk atau transit ke negara itu.

Menurut Malaysia Airlines lagi, semalam syarikat penerbangan itu dengan kerjasama Wisma Putra, telah melancarkan penerbangan menyelamat ke Medan, Indonesia, bagi membawa pulang 158 rakyat Malaysia termasuk 144 orang pelajar.

Mereka tiba di KLIA pada 5.50 petang semalam dengan penerbangan MH865 yang beroperasi menggunakan pesawat  Boeing 737-800 dan lima anak kapal. 

“Sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines terlibat secara aktif dalam membawa pulang rakyat Malaysia dari seluruh dunia ketika pandemik melanda seluruh dunia kini,” menurut kenyataan itu lagi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda