Sikap segelintir masyarakat, terutama penduduk di kawasan zon hijau Covid-19 di negara ini yang mula mengambil mudah situasi apabila tiada kes baru dilaporkan di kawasan mereka merisaukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM juga khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat-nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan kerana memikirkan bahawa wabak itu hampir selesai.
“Pada hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum tiba ke penghujungnya. Oleh itu, KKM menyeru kepada semua masyarakat termasuk mereka di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau agar tidak leka dan kekal mematuhi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Virus Covid-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingat bahawa kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat pula adalah sekutu kepada virus ini,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Beliau menyatakan kebimbangan itu susulan kenyataan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini bahawa didapati masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar PKP.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham turut menasihati masyarakat terus mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
– Bernama
Tinggalkan komen anda