COVID-19 : 75 kes pulih, 31 kes baharu dan satu kematian


shadow

PUTRAJAYA – Kes pesakit pulih dan discaj dua kali ganda berbanding bilangan kes jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 75 kes bilangan pesakit sembuh sepenuhnya serta discaj menjadikan jumlah kumulatif mencecah 4,032 kes, setakat ini.

“Hingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 31 jangkitan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,851 kes.

“Namun, ada satu pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 100 kes kematian di negara ini,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kematian ke-100 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 67 tahun mempunyai latar belakang penyakit kronik iaitu kencing manis, darah tinggi dan strok menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Tambahnya, sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tinggalkan komen anda