SINGAPURA – Sebanyak 942 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk tujuh rakyat Malaysia dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes di republik ini sebanyak 5,992.
Kini, terdapat seramai 92 rakyat Malaysia dijangkiti COVID-19 di sana.
Menurut data harian terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dua daripada mereka ada kaitan dengan dua pekerja asing yang dijangkiti di asrama Tuas View dan Sungei Tengah Lodge.
Manakala tiga rakyat Malaysia masih diklasifikasikan sebagai kes tiada kaitan tempatan, satu lagi ada kaitan dengan kluster TTJ Design & Engineering Pte Ltd dan seorang lagi rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan kes 4,547 iaitu warganegara Malaysia berumur 29 tahun.
Justeru, daripada 942 kes baharu tersebut, 22 kes dalam komuniti, 27 pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama manakala 893 pemegang Permit Kerja yang duduk di asrama.
MOH berkata, berkaitan kes 4,754 iaitu rakyat Malaysia berumur 40 tahun telah meninggal dunia hari ini namun bukan akibat komplikasi jangkitan COVID-19.
Punca kematian mangsa kerana bekalan darah ke jantung tersekat berserta serangan kardiogenik, kata kementerian itu tapi dalam masa yang sama lelaki itu disahkan dijangkiti COVID-19 pada 17 April, Jumaat lalu.
Singapura turut melaporkan dua lagi kluster baharu iaitu di Homestay Lodge di Kaki Bukit Avenue 3; dan Asrama CDPL Tuas di Tuas South Street 15.
Setakat ini, 740 kes COVID-19 telah dibenarkan keluar daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti.
Daripada 2,563 kes yang disahkan positif masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil dan bertambah baik dan 23 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.
MOH berkata, 2,678 kes lagi berada dalam keadaan baik dari segi klinikal tetapi masih positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.
Setakat ini, Singapura melaporkan 11 kematian akibat COVID-19.
Tinggalkan komen anda