COVID-19 : 12 pesakit terima rawatan di MAEPS


shadow

SERDANG: Seramai 12 pesakit bagi fasa pertama dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Memetik Awani, menurut Pengarahnya, Dr. Md. Anuar Abd Samad @ Mahmood, bilangan itu dijangka meningkat tidak lama lagi dengan penerimaan hanya dikhususkan bagi pesakit yang berisiko rendah.

“Kita sudah mula terima kemasukan pesakit positif COVID-19 sejak 21 April lalu dan mungkin akan ada lagi pertambahan berdasarkan maklumat terkini daripada hospital.

“Kemasukan ke sini ada tapisan kerana kita fokus pada pesakit yang tidak bergejala dan berisiko rendah,” katanya ketika tinjauan di pusat kuarantin berkenaan pada Khamis.

Tambahnya, pusat kuarantin itu beroperasi dengan kelengkapan asas yang sama seperti hospital biasa dan tidak mempunyai kemudahan peralatan perubatan unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit yang kritikal.

“Kita tidak mempunyai kelengkapan seperti di ICU dan itu antara sebab kita letak syarat kemasukan pesakit COVID-19 yang berisiko rendah sebab kita bimbang tak mampu rawat pesakit kritikal,” katanya lagi.

Tinjauan mendapati, sebanyak 64 daripada keseluruhan 400 katil di pusat berkenaan sudah dibuka di Dewan A. Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan 240 katil di Dewan C sebagai persediaan jika petugas kesihatan dijangkiti.

Buat masa ini, pusat kuarantin berkenaan turut menerima pesakit daripada hospital COVID-19 termasuk Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan Hospital Rembau di Negeri Sembilan selain beberapa hospital di sekitar Lembah Klang.

Tinggalkan komen anda