Berlakon mati untuk balik kampung melepasi sekatan polis


shadow

Seorang penduduk sebuah kampung di pedalaman Kashmir dilaporkan berlakon sudah mati dan cuba melepasi sekatan polis untuk pulang ke rumah dengan menaiki ambulans.

Hakim Din, 70, dikatakan dirawat di sebuah hospital di Jammu kerana mengalami kecederaan kecil di kepala dan terperangkap berikutan pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung

Warga emas itu kemudian menerima cadangan seorang pemandu ambulans supaya dia berpura-pura mati untuk melepasi sekatan jalan yang dilakukan ketika perintah berkurung dilaksana di negara ini.

Dia bersama tiga lagi lelaki menaiki ambulans itu kerana mahu kembali ke Poonch, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan.

Suprintendan Polis, Ramesh Angral, berkata empat lelaki dan pemandu ambulans itu memandu lebih 160 kilometer dan melepasi banyak sekatan jalan menggunakan sijil kematian palsu.

“Ambulans itu bagaimanapun dihentikan di sekatan terakhir dan polis mendapati lelaki yang diselubungi kain dalam kenderaan itu kelihatan masih hidup,” katanya.

Tambah Angral, lelaki itu ditahan serta dikuarantin dan semua yang ditangkap akan berdepan dengan tuduhan menipu selain melanggar arahan kerajaan.

Ketika ini, tiada kes COVID-19 dilaporkan di wilayah Poonch, namun India sudah menetapkan 21 hari perintah berkurung sejak Rabu lalu, untuk menangani pandemik berkenaan.

Negara yang mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk itu sudah mencatat lebih 1,600 kes termasuklah 38 kematian.

Kebanyakan penduduk Kashmir terkandas di bandar dan tidak mampu pulang semula ke kampung mereka selepas kerajaan mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara itu.

Akses internet juga dihentikan pada permulaan perintah itu, namun kini ia dihadkan dengan hanya penggunaan 2G saja dan kebanyakan pengguna telefon bimbit tidak mampu mengakses internet.

Tinggalkan komen anda