Apa Relevan Kerajaan Benarkan Kilang Heneiken Beroperasi?


shadow

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mencetuskan kekeliruan dengan memberi pengecualian kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi ketika wabak COVID-19 melanda.

Alasannya permohonan syarikat berkenaan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun ia memenuhi kriteria sekalipun, bukankah pihak KPDNHEP patut memikirkan dahulu kesannya terutama kepada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus memastikan rakyat duduk di rumah, tetapi dengan minuman memabukkan ini boleh mengakibatkan seseorang bertindak di luar kawalan yang akan memudaratkan dan menyusahkan orang lain.

Dalam tempoh PKP dijalankan, terdapat tiga kes membabitkan minuman keras iaitu semalam, seorang pemandu dalam keadaan mabuk merempuh sekatan PKP di Bintulu.

Dua hari yang lepas pula, lapan lelaki warga Nepal bergaduh berpunca daripada pengaruh alkohol. Pada 3 April lalu, tiga lelaki termasuk dua warga emas minum minuman keras di kawasan jangkitan wabak tanpa alasan munasabah dan serta melanggar PKP.

Selain itu, sebelum wabak COVID-19 terjadi, negara kita digemparkan dengan beberapa kes mabuk yang melibatkan kematian. Tidak nampakkah pihak KPDNHEP? Masih logikkah meluluskan syarikat minuman alkohol tersebut selepas mengetahui insiden yang berlaku malah dengan keadaan sekarang ini?

Sementara itu, menerusi laman sosial Facebook Datuk Kadir Jasin atau dikenali A Kadir Jasin menyatakan ketidakpuasan hatinya dan tidak setuju terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak KPDNHEP dan kerajaan membenarkan syarikat Heineken beroperasi ketika penularan jangkitan COVID-19.

“Minuman keras ini bukan barang larangan di Malaysia cuma penjualan dan pengambilannya dikawal,” katanya.

Menurutnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Heineken, Idris Jala adalah orang Sarawak dan beragama kristian.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menekankan mereka sebagai kerajaan Melayu-Islam tapi isu ini sedikit sebanyak menunjukkan dasar dan amalannya.

“Yang pasti tentang kerajaan PN ini adalah bukanlah yang dipilih oleh rakyat seperti yang diakui sendiri oleh ketuanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 27 Mac lalu.

“Jadi keputusan membenarkan kilang arak beroperasi ketika pandemik Covid-19 ini bukan isu besar bagi kerajaan yang tidak dipilih ini.

“Satu perkara lagi, cukai arak ini tinggi. Dengan bilangan Menteri, Timbalan Menteri dan Duta Khas taraf Menteri yang ramai, kerajaan PN tentulah perlukan hasil cukai yang banyak,” katanya.

Tambahnya, kini harga petroleum jatuh merudum, ia adalah sumber utama hasil kerajaan.

“Jadi kenalah cari sumbar hasil lain sebagai ganti. Arak pun araklah,” ujarnya.

Justeru, adakah kerajaan sekarang tidak mempedulikan halal dan haram? Jika benar mahu mendapat pendapatan cukai yang tinggi melalui kilang arak, ia tidak boleh diterima.

Pihak kerajaan perlu buka mata dan berhati-hati dengan isu sebegini. Nyawa lebih penting. Rakyat takkan mati hanya tidak dapat minuman keras ini.

Tinggalkan komen anda