Anthony Loke dakwa 2 lantikan Pakatan dalam CAAM dipecat


shadow

BEKAS menteri pengangkutan Anthony Loke mendakwa dua ahli lembaga pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dilantik ketika tempoh perkhidmatannya dipecat.

Menerusi Facebooknya, beliau berkata mereka yang dipecat adalah Afzal Abdul Rahim dan Ragunath Kesavan, yang disifatkan sebagai profesional dan bukan ahli parti politik yang berkaitan Pakatan Harapan.

Loke berkata, Afzal yang merupakan ketua pegawai eksekutif penyedia perkhidmatan jalur lebar TIME dotCom dan ahli lembaga pengarah bebas CIMB Group, enggan menerima elaun dan berkhidmat atas dasar pro bono kerana baginya ia adalah perkhidmatan untuk negara.

Ragunath, yang merupakan bekas pengerusi Badan Peguam menyertai lembaga berkenaan selepas itu, memandangkan CAAM memerlukan seseorang yang mempunyai latar belakang perundangan.

“Saya lantik beliau walaupun saya tahu beliau pengkritik hebat kerajaan PH,” kata Loke mengenai Ragunath.

“Walaupun saya faham bahawa adalah hak mutlak menteri untuk melantik atau membuang mana-mana ahli lembaga badan berkanun di bawah kementerian, adakah mereka tidak dapat bezakan antara lantikan profesional dan politik?” tambahnya.

Tinggalkan komen anda