‘Ada penghuni lari dari PKPD Jalan Masjid India’


shadow

Seorang penghuni yang berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, ibu negara dilaporkan bertindak melarikan diri dari kawasan itu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa pada sidang medianya hari ini, namun tiada maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

“Jangan meninggalkan bangunan, ada sorang yang telah melarikan diri.

“Sebenarnya tak perlu berbuat demikian (melarikan diri) kerana kita ingin membantu tuan-tuan yang menghuni di Selangor Mansion dan Malayan Mansion,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebooknya.

Untuk rekod kira-kira 97 peratus yang menghuni dua blok bagunan berkenaan adalah warga asing.

Bagaimanapun pada sidang media itu Annuar tidak memaklumkan individu yang melarikan diri daripada kawasan PKPD itu adalah rakyat tempatan atau warga asing.

Dua hari lalu, kerajaan mengarahkan bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di ibu negara diletakkan di bawah PKPD berikutan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri berkata, ini selepas terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 dikesan di bangunan yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu.

Ia merupakan arahan keempat PKPD sejak pertama kali diumumkan di dua buah kampung di Simpang Renggam, Johor pada 27 Mac lalu.

PKPD di kawasan itu melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni membabitkan 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu.

Perintah PKPD itu berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan tamat.

Sementara itu, Annuar meminta penghundi di dua blok bangunan berkenaan supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas ketika ini.

“Kepada mereka yang ada di dua blok ini berikan kerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan yang terpaksa turun naik ke situ.

“Berikan kerjasama kepada bandaraya yang melakukan semburan (nyah kuman), polis, tentera yang menjaga keselamatan di situ,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda