195 kes positif dikesan di 4 kluster madrasah


shadow

EMPAT subkluster jangkitan baharu dikesan terbentuk di empat buah madrasah hasil pengesanan kontak rapat kes indeks perhimpunan Seri Petaling, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, ia meliputi madrasah di Sungai Lui, Hulu Langat yang kini diletak bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat dan tiga lagi di Jerantut, Penanti dan Jasin.

Menurutnya, kluster paling besar dikesan di Sungai Lui, dengan 90 kes didapati positif daripada 282 orang yang disaring setakat ini, termasuk 274 pelajar.

Ia diikuti kluster madrasah di Jerantut yang menemui 62 kes positif daripada 401 orang yang disaring, katanya dalam sidang media disiar langsung hari ini.

Katanya, 297 daripada individu yang disaring di madrasah Jerantut itu terdiri daripada 287 pelajar dan 104 kakitangan serta ahli keluarga terlibat.

Tambah beliau, pengesanan di madrasah di Jasin pula menemukan 37 kes aktif daripada 137 orang yang disaring, melibatkan 122 pelajar dan 15 kakitangan.

Kluster paling kecil dikesan di Penanti, Pulau Pinang dengan enam kes positif daripada 256 pelajar dan 35 kakitangan yang disaring, katanya lagi.

“KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi,” katanya.

Ketika ditanya, beliau berkata perintah PKPD hanya dikenakan di Sungai Lui dan kementerian masih meneruskan pengesanan aktif di semua kluster terlibat dan tempat risiko sasaran.

Individu yang didapati positif akan dibawa ke hospital untuk rawatan dan kes negatif diasingkan untuk kuarantin, katanya lagi.

Dr Noor Hisham juga meminta anggota masyarakat tidak mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-kumpulan yang dikaitkan denga kluster jangkitan Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Operasi itu berjaya dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan tiga lagi kematian baharu akibat Covid-19 hari ini, yang meningkatkan angka korban menjadi 76 orang, iaitu 1.62% daripada jumlah jangkitan.

Kes baharu direkodkan hari ini seramai 153 orang dan 113 pula pulih, yang memberi jumlah 2,108 orang berjaya sembuh.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,499 kes aktif Covid-19 kini sedang dirawat dengan 66 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Seramai 37 daripadanya perlu alat bantuan pernafasan.

Tinggalkan komen anda