Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat syarikat perkhidmatan kesihatan atas talian bagi Sistem “Online Appointment” & “Webinar for COVID-19”, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata sistem ini merupakan kolaborasi antara KKM dengan Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall.
“Ia sebagai alternatif untuk mengurangkan isu kesesakan di klinik-klinik kesihatan bagi tujuan penjarakan sosial (social distancing) semasa pandemik penyakit COVID-19.
Beliau berkata, melalui Online Appointment ini, pelanggan boleh memilih slot waktu temujanji untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Khusus bagi pandemik penyakit COVID-19 di mana penjarakan sosial perlu diamalkan, adalah diharapkan pelaksanaan sistem ini dapat membantu mengatasi isu kesesakan dan masa menunggu yang panjang di klinik kesihatan,” katanya di laman sosial Facebook miliknya, malam tadi.
Sementara itu, Dr.Noor Hisham berkata ‘Webinar for COVID-19’ pula merupakan satu kolaborasi antara BookDoc dan KKM untuk menyalurkan informasi kesihatan yang tepat dan terkini berkaitan dengan COVID-19.
“Ia adalah saluran alternatif untuk orang awam yang mana ianya melibatkan sesi soal jawab secara web-based bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori-kategori lain seperti Dietetik,” katanya.

Jelasnya, sistem Online Appointment dan Webinar ini dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada semua syarikat terlibat untuk tempoh tiga bulan dan orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui portal KKM (moh.gov.my) dan syarikat masing-masing.
“Diharap usaha ini akan membantu mengurangkan keresahan dan meningkatkan tahap kesedaran orang awam berkaitan pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh Kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara kita pada masa ini,” ujarnya.
Slot bagi sistem Online Appointment ini akan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan senarai klinik kesihatan terlibat boleh dirujuk melalui portal KKM.
Sementara itu, waktu Webinar adalah dari pukul 2 hingga 2.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, boleh ditonton melalui sesawang webinar.bookdoc.com
Tinggalkan komen anda