11 penjara sementara untuk pesalah ingkar PKP, bermula 23 April


shadow

Kementerian Dalam Negeri mewartakan 11 penjara sementara untuk menahan pesalah yang mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ia akan mula beroperasi pada 23 April, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan itu mengesahkan perkara tersebut ketika sidang media dari Putrajaya yang disiarkan secara langsung di Facebook petang ini.

“Seperti saya umum baru-baru ni, kerajaan wujudkan penjara khas tahanan ingkar PKP.

“Hari ini, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mewartakan 11 penjara sementara untuk tahanan ingkar PKP.

“Penjara sementara akan mula operasi 23 April 2020 dan Kementerian Kesihatan akan bantu sedia petugas kesihatan,” katanya.

Sementara itu, menurut Ismail, statistik berkaitan PKP hingga semalam menyaksikan 1,111 orang ditahan di seluruh negara kerana mengingkari PKP .

Beliau berkata daripada jumlah itu, 997 individu direman sementara 114 individu dibebaskan dengan jaminan polis, dengan tangkapan kumulatif sebanyak 14,750 individu, sehingga semalam.

Ismail menambah, setakat semalam, polis dan tentera telah memeriksa 451,487 kenderaan melalui 820 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan 51,706 pemeriksaan mengejut dilakukan di seluruh negara dengan 5,861 buah premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Pada 15 April, Ismail juga dilaporkan berkata Putrajaya akan menukar status 13 akademi Jabatan Penjara untuk menahan pengingkar PKP.

Sebelum ini, mahkamah telah memenjarakan mereka yang mengingkari PKP tetapi Jabatan Penjara mengadu bahawa ia akan menyebabkan kesesakan dan mampu mewujudkan wabak Covid-19 kerana jarak sosial sukar diamalkan dalam keadaan di situ.

Tinggalkan komen anda