UMS sedia jadi pusat ujian pengesanan Covid-19


shadow

KOTA KINABALU – Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini bersiap sedia untuk menjadi pusat pengesanan COVID-19 sekali gus membantu Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan ujian bagi mengesan virus itu.

Pengarahnya, Dr Zarina Amin dalam kenyataan menyebut bahawa sepasukan penyelidik IPB telah mengadakan latihan dalaman ujian saringan wabak COVID-19 pada 27 Mac bagi tujuan itu.”Selepas perbincangan bersama dua agensi yang terlibat dalam saringan COVID-19 iaitu JKNS dan Makmal Kesihatan Awam Negeri Sabah, mereka bersetuju agar pengesanan COVID-19 boleh dilakukan di IPB kerana kami turut mempunyai pakar penyelidik serta kemudahan lengkap untuk melakukan saringan,” katanya sambil menambah bahawa sesi latihan itu berlandaskan situasi sebenar dengan dikawal selia oleh pegawai biokeselamatan dan pembantu makmal berpengalaman.

Beliau berkata antara yang dilaksanakan ialah perbincangan langkah kerja, penilaian risiko, penyemakan Prosedur Operasi Standard dan langkah mitigasi bermula daripada penerimaan, penyimpanan, pemprosesan sampel, analisis data serta pelupusan sampel.Sementara itu, kumpulan penyelidik Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS telah menghasilkan set pelindung muka untuk disumbangkan kepada hospital di seluruh Sabah.

Ketua Penyelidiknya, Dr Chee Fuei Pien berkata semua proses penghasilan set pelindung muka itu, termasuk percetakan 3D, dilakukan di Makmal Sains Bahan fakulti berkenaan dan makmal tersebut boleh menghasilkan sehingga 35 set sehari.

Sehingga kini, lebih 110 set pelindung muka telah dihasilkan untuk diserah kepada JKNS, menurutnya dalam kenyataan di sini.

SUMBER – BERNAMA

Tinggalkan komen anda