Tiga wakil PAS dilantik menteri, lima lagi timbalan menteri


shadow

KUALA LUMPUR: PAS yang kali kedua menjadi parti peringkat Persekutuan, diwakili tiga wakil sebagai menteri penuh dalam Kabinet baharu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang diumumkan hari ini.

Lima lagi pemimpinnya dilantik sebagai timbalan menteri.

Bagaimanapun, tiada wakil PAS dilantik sebagai menteri kanan, jawatan baharu yang diwujudkan buat kali pertama.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai barisan Ahli Parlimen parti itu dalam Jemaah Menteri dan dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen dan undang-undang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap ketika sidang media di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – Foto Asyraf Hamzah

Seorang lagi wakil PAS dalam Kabinet ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Lima wakil PAS dilantik sebagai Timbalan Menteri iaitu Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia; Ahli Parlimen Rantau Panjang yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Selain itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Tinggalkan komen anda