Seorang lagi kakitangan Suhakam positif Covid-19


shadow

Seorang lagi anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diuji positif Covid-19, beberapa hari selepas kakitangan pertamanya diuji positif wabak itu.

Malaysiakini difahamkan bahawa beberapa kakitangan Suhakam kini dalam pemantauan sebagai Pesakit Di Bawah Siasatan (PUI) dan sedang menunggu keputusan ujian Covid-19.

“Ya, tetapi kami tidak akan mendedahkan identiti mereka,” kata jurucakap Suhakam ketika dihubungi hari ini untuk mengesahkan kes terbaru itu.

Jurucakap itu juga mengesahkan bahawa ibu pejabat Suhakam di Menara TH Perdana di Kuala Lumpur akan terus ditutup sehingga 24 Mac.

Awal pagi tadi, Suhakam juga menghantar notis penutupan pejabatnya yang dilanjutkan dan hanya akan dibuka semula pada 25 Mac.

Suhakam pada mulanya mengumumkan bahawa ibu pejabatnya akan ditutup dan pembasmian kuman akan dilakukan dari 11 Mac hingga 13 Mac selepas mengesan kes positif pertama dari kalangan kakitangannya.

Suruhanjaya itu menasihatkan orang ramai yang telah melawat atau berinteraksi dengan pegawainya dari 2 Mac dan seterusnya kemungkinan terdedah negan Covid-19, meskipun kecil kemungkinannya.

Tinggalkan komen anda