PRIHATIN, Usaha Kerajaan Untuk Rakyat


shadow

Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi prihatin rakyat (PRIHATIN) Nasional bakal memberikan manfaat dan sekaligus meringankan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, kerajaan faham dalam keadaan bencana yang kita hadapi kini, rakyat terjejas dari segi sumber pendapatan.

Inisiatifnya adalah pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion disalurkan kepada kumpulan M40 iaitu pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Sehubungan itu, jumlah tersebut akan disalurkan kepada empat kategori; pertama, pemberian RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah, permulaan bayaran adalah RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

Kedua, bantuan RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan bakinya RM500 pada bulan Mei.

Manakala, ketiga, tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima RM800, bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

Keempat, 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000, mereka menerima RM500. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

Selain itu, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Kerajaan tidak melupakan para pelajar institusi pengajian tinggi peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS yang turut akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta.

Tinggalkan komen anda