Polis terpaksa guna kekerasan tahan lelaki kontak rapat pesakit COVID-19


shadow

LABUAN – Seorang lelaki berumur 68 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit COVID-19 terpaksa digari keluar dari rumahnya di Rumah Pangsa Kos Rendah LDA di sini selepas enggan mengikuti arahan menjalani ujian saringan kesihatan dan kuarantin pada 4 petang, Khamis.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata anggota-anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Labuan dan pasukan perubatan dari Hospital Labuan terpaksa menggunakan kekerasan minimum terhadap lelaki itu di bawah Seksyen 15 (2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kekerasan yang terpaksa dilakukan itu adalah dibuat selepas melihat keperluan berikutan lelaki berkenaan adalah bapa kepada salah seorang jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

“Lelaki berkenaan disahkan sebagai kontak pertama hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak hospital ke atas anaknya yang memaklumkan mereka tinggal serumah,” katanya hari ini.

Farid berkata lelaki berkenaan telah diminta hadir secara sukarela untuk menjalani ujian saringan pada 17 Mac, namun beliau tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk berbuat demikian.

“Susulan daripada keengganan lelaki itu, pada 19 Mac pasukan perubatan Hospital Labuan telah pergi ke alamat kediaman lelaki itu untuk membawanya ke hospital untuk menjalani tempoh kuarantin 14 hari.

“Sekali lagi, lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Labuan meminta bantuan polis bagi melaksanakan perintah dan tugas tersebut,” katanya.

Kenyataan itu susulan video berdurasi 14 saat berhubung tindakan polis itu yang tular di media sosial sejak petang semalam.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda