PM8 Kedekut?


shadow

Dua jenis Pakej Rangsangan Ekonomi ekoran krisis COVID-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak mencukupi dan kedekut.

Pakar Ekonomi, Muhammed Abdul Khalid menyifatkan dengan keadaan wabak COVID-19 yang makin serius, kerajaan tidak boleh berkira-kira mengenai defisit fiskal, jumlah hutang negara, kadar pertumbuhan ekonomi, tanggapan ‘credit rating agencies’, ataupun berpolitik.

Pakej rangsangan pertama ketika Covid-19 baru menular berjumlah RM20 bilion, manakala pakej rangsangan kedua ketika bencana menjadi lebih teruk berjumlah RM620 juta iaitu merangkumi dua peratus diskaun bil elektrik (RM500 juta) serta bantuan RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji (RM120 juta).

Selain itu, Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada sektor perubatan dan kesihatan dalam menangani COVID-19, bantuan tanpa batasan dari aspek peralatan perubatan dan perlindungan diri kepada kakitangan-kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan disyorkan menggunakan strategi ekonomi serampang tiga mata iaitu memberi pendapatan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bekerja sendiri, membantu syarikat kecil dan sederhana untuk terus bertahan serta memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Krisis ini memberi impak yang lama kepada negara maka bantuan haruslah bersifat jangka pendek dan jangka panjang.

“Pertama, kerajaan perlu memberi prihatian dan membantu mereka yang hilang mata pencarian, terutamanya pekerja sendiri, dan mereka yang terjejas teruk, termasuk majikan,” katanya.

Dipetik dari Malaysiakini, Muhammad turut menyatakan bahawa, bantuan boleh diberikan dalam dua bentuk; pertama, bantuan RM1,000 sebulan diberikan kepada yang bekerja sendiri, dan kedua, kerajaan boleh memberi subsidi gaji sebanyak RM1,000 sebulan pada mereka yang bekerja makan gaji untuk memastikan syarikat tidak membuang pekerja. Kos tersebut menelan belanja sebanyak RM 26 bilion bagi tempoh tiga bulan bermula April ini.

Muhammed menambah, strategi kedua, cukai perniagaan haruslah dikurangkan kepada semua syarikat dan individu, pihak bank dan syarikat pembiayaan mengurangkan hutang pinjaman untuk beberapa bulan serta subsidi gaji.

“Ketiga, bantuan besar besaran harus diberikan kepada pengeluar makanan. Tabung AgroFood sekurang-kurangnya diberi sebanyak 10 bilion berbanding 1 bilion yang diumumkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir pada pakej rangsangan pertama yang diumumkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir bagi mengelakkan negara tidak menghadapi masalah bekalan makanan.

“Disamping itu, harga barang makanan utama juga haruslah diletak dalam kawalan supaya peniaga tidak menaikan harga barang sesuka hati.

“Kerajaan mampu untuk memberi bantuan begini jika defisit fiskal kita berganda dan pertumbuhan ekonomi negatif. Malah, akta dan peraturan kewangan yang ada boleh di tangguhkan pada waktu kritikal ini,” ujarnya.

Umumnya, defisit fiskal kini dalam lingkungan 3.4 peratus, secara relatif masih rendah berbanding 7 peratus pada tahun 2009 semasa krisis kewangan global, dan hampir 17 peratus pada awal 80-an.

Pada situasi getir begini, tidak mengapa jika berbelanja untuk rakyat dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang berjumlah hampir RM 17 bilion, dan rizab negara yang melebihi RM400 bilion.

Pada masa yang sama, semua menteri dan timbalan menteri boleh membantu dari segi potongan gaji dan hanya diberikan gaji simbolik RM1 sahaja untuk membantu rakyat dan negara sepanjang tahun ini termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLCs dan GLICs) disyorkan supaya gaji mereka dipotong 25 peratus.

Tinggalkan komen anda